Monday, 13 June 2016

SKMM terima 105 aduan penipuan jualan dalam talian..


KUALA LUMPUR: Sebanyak 105 aduan mengenai penipuan penjualan barangan dan perkhidmatan dalam talian dilaporkan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) bagi tempoh Januari hingga Mei tahun ini, persidangan Dewan Negara diberitahu hari ini.

Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Jailani Johari, berkata maklumat dan aduan awam yang telah diterima tersebut telah dirujuk kepada pihak polis dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) untuk penelitian dan dan tindakan lanjut. "Untuk rekod, bagi kes-kes penipuan dalam talian, SKMM akan memberikan bantuan dari segi teknikal apabila diperlukan," katanya semasa menjawab soalan Senator Datuk Hamzah Mohd Kasim yang ingin tahu mengenai perkara itu.

Beliau berkata bagi meningkatkan keyakinan pengguna yang menjalankan transaksi secara talian, KPDNKK telah menggariskan Peraturan-peraturan Perlindungan Pengguna (Urus Niaga Perdagangan Elektronik) yang dikuatkuasakan pada 1 Julai 2013. "Antara peraturan yang diwajibkan kepada peniaga, mereka perlu mendedahkan maklumat pada tapak web di mana perniagaan dijalankan iaitu nama peniaga dalam talian, nombor pendaftaran perniagaan dan syarikat, alamat e-mel, nombor telefon atau alamat penjual dalam talian," katanya.

Katanya, kerjasama SKMM dengan polis dan KPDNKK terus terjalin dalam menjalankan pengesanan, perkongsian maklumat dan aspek forensik digital bagi membanteras kegiatan jenayah penjualan barangan dalam talian itu.

Sumber: Berita Harian

Pekerja Hong Kong Paling "Letih" Letih Di Dunia...


HONG - KONG - CHINA. Warga kerja di Hong Kong disenaraikan paling 'letih' di dunia dengan waktu kerjanya 50 jam seminggu.

Mengikut laporan yang dibuat UBS, sebuah syarikat korporat yang terkenal di China, hasil kajian dibuat ke atas 71 bandar raya dan 15 jenis profesion, didapati warga kerja di rantau Asia paling rajin dan terpaksa bertungkus-lumus mencari rezeki dengan waktu yang lebih lama.

Daripada senarai 10 bandar raya di dunia dengan jumlah masa kerja paling lama, tujuh daripadanya adalah datang daripada negara Asia.

Sebaliknya, warga kerja di rantau Eropah paling tidak tertekan apabila daripada senarai 10 bandar raya dengan jumlah masa kerja yang paling sedikit, semuanya datang daripada negara-negara Eropah.

Mengikut laporan tersebut, hasil kajian daripada 71 bandar raya, secara puratanya jumlah tempoh waktu kerja ialah 36.23 jam seminggu.

Selepas Hong Kong, warga bandar raya kedua paling 'teruk kerja' ialah Bombay, diikuti Mexico, New Delhi dan Bangkok.

Manakala Paris dan Lyon, kedua-dua dari Perancis merupakan dua bandar raya paling relaks, dengan masing-masing jumlah masa kerjanya ialah 30.84 jam seminggu dan 31.36 jam seminggu.

Ini diikuti tempat ketiga, Moscow (31.67 jam seminggu), keempat, Helsinki (31.90 jam seminggu) dan kelima, Vienna (32.26 jam seminggu).

Laporan itu turut menyebut, warga kerja di Paris hanya perlu kerja selama lima hari seminggu dengan purata masa kerja sehari ialah hanya 6.17 jam!

Sumber : Sinar Harian

Friday, 3 June 2016

Muhammad Ali meninggal dunia....


LOS ANGELES: Legenda tinju dunia, Muhammad Ali meninggal dunia pada usia 74 tahun hari ini selepas dua hari dimasukkan ke hospital Phoenix di Arizona, kerana masalah pernafasan. Berita mengenai pemergiannya itu disahkan oleh ahli keluarganya, sebentar tadi. "Selepas bertarung selama 32 tahun dengan penyakit Parkinson, Muhammad Ali meninggal dunia pada usia 74," kata jurucakapnya, Bob Gunnell. Ali, masyhur sepanjang kerjaya sukan tinju heavyweight yang menjangkau tiga dekad dan terkenal dengan panggilan "The Greatest". Keadaan kesihatan Ali awal hari ini dilaporkan semakin tenat, kata sumber yang rapat dengan keluarga ahli sukan itu. Sepanjang kariernya, Ali dianggarkan menerima 29,000 kali tumbukan daripada lawannya dan dengan itu dia dianggap manusia paling diiktiraf di dunia.

Sumber : berita harian

5 Pekara yang anda perlu tahu tentang shopping raya..


Tips shopping di Hari Raya bukannya shopping semasa hari raya, tetapi shopping sebelum tiba hari perayaan tersebut. Penting untuk gunakan bagi elakkan pembaziran dan melakukan aktiviti shopping melampau. Kita manusia, jika mahu elakkan sesuatu itu terlebih berlaku, mesti dahulu buat persediaan sebelum ia berlaku .. erkkk ok tak faham ehh? Baca entri saya sepenuhnya ini.

Tips Shopping di Hari Raya
Pertama sekali untuk shopping hari raya, saya sangat syorkan anda melakukan shopping untuk raya lebih awal. Lebih awal maksudnya di sini sebelum bermulanya puasa. Bukan apa, bulan puasa adalah bulan ibadah, agak merugikan seandainya nanti dihabiskan masa dengan shopping ni. Al maklumlah, bila hampir nak raya, akan banyak dugaan yang muncul, sana sini ada sale dan jualan harga runtuh.

Kedua, Anda perlu shopping di pasaraya yang banyak pilihan atau deretan kedai yang berhampiran. Ini adalah kerana mudah anda nak bandingkan harga yang ditawarkan. Dan percayalah, harga produk semasa sebelum raya dengan dekat-dekat nak raya tak jauh bezanya pun. Malah, ada tu yang harganya adalah lebih murah, jika nak bandingkan dengan harga sebelum sampai hari perayaan. Pilih pasaraya yang memang jual pelbagai produk yang sama. Contohnya, kalau nak beli baju raya, belilah di pasaraya yang memang khusus jual baju raya. Pasti anda akan suka dengan harga dan kualiti yang ditawarkan.

Ketiga, ialah shopping hari raya di kedai yang anda boleh tukar barang dengan mudah. Jika anda mula shopping sebelum raya, mudah sikit nak buat jika tetiba pakaian dibeli tak muat atau tidak sesuai. Jika dah sampai dekat dengan hari raya, nak tukar barang memang dah susah dan sukar memandangkan produk akan kehabisan stok atau dah tiada saiz.

Keempat, ialah beli pakaian siap. Bukan nak menutup rezeki tukang jahit yang akan jahit baju raya anda. Tetapi jika nak buat juga, pastikan anda lakukan 2 bulan lebih awal. Ini adalah kerana sebulan sebelum hari raya, tukang jahit dah mula sibuk, dan kemungkinan baju raya anda tidak dapat siap bila sampai hari raya. Kena ingat, zaman sekarang semua nak buat baju raya warna sedondon, jadi satu keluarga yang ada 3 beranak, dah si tukang jahit kena siapkan 3 pasang. Itu jika pasangan keluarga itu tempah satu jenis baju raya, bantainya sampai ada 3 hingga 4 baju raya seorang? Haa .. jadi tips shopping raya saya .. tempah awal, dan pastikan tukang jahit bukan tukang jahit utama (yang ada kedai) jika nak buat tempahan yang banyak.

Kelima, ialah berkaitan kuih raya dan juadah. Anda patut rasa makanan-makanan ini, kuih raya ke ... rendang tok ke, biskut raya ke, kek kukus ke .. semuanya mesti dibuat sebelum bulan puasa. Shopping raya juga libatkan kuih muih dan biskut raya. Nak pastikan anda tidak tersilap beli, dan malu ditegur oleh tetamu di hari raya, jadi kena rasa semua jenis kek, biskut raya yang bakal jadi hidangan sebelum raya. Bukan apa, bila bulan puasa ni... deria rasa jadi lain sikit .... :) mungkin tempahan siap sebelum hari raya tidak seperti rasanya yang anda pernah rasa sebelum ini. Pilih dengan betul.

Ok, itulah sahaja tips shopping raya yang ingin saya kongsikan bersandarkan pengalaman saya dan isteri.

Siap awal supaya nanti bulan puasa khususnya akan lebih tertumpu dengan ibadah, terutama kat hujung-hujung tu yang sebenarnya lebih hebat untungnya dan hebat dugaannya.

Shopping raya awal juga akan kekang nafsu dari membeli secara berlebihan. Tak percaya? Cubalah ... hehehe...

Sumber Asal: Hasrulhassan

Wednesday, 1 June 2016

JPJ memperkenalkan Sijil Pemilikan Kenderaan menggantikan Kad Pendaftaran Kenderaan...


Putrajaya: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) memperkenalkan Sijil Pemilikan Kenderaan (VOC) bagi menggantikan Kad Pendaftaran Kenderaan (RC) yang akan dilaksanakan secara berperingkat mengikut fasa mulai hari ini.

JPJ dalam kenyataannya berkata,pengenalan VOC masih lagi menjadi suatu perakuan pendaftaran yang dikeluarkan di bawah peruntukan Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang mengandungi butiran pemilik dan kenderaan.

Katanya, bagi fasa pertama VOC akan dikeluarkan kepada pemilik pendaftaran kenderaan baru dan pemilik baru bagi proses tukar hak milik kenderaan.

"Fasa kedua yang bermula 1 September ini, VOC akan dikeluarkan kepada pemilik yang membuat pembaharuan cukai jalan dan pemilik yang membuat pindaan atau pembetulan maklumat kenderaan.

"Sementara fasa ketiga yang bermula 1 Januari 2017, VOC akan dikeluarkan kepada pemilik yang hadir ke JPJ secara sukarela bagi menggantikan RC masing-masing," katanya.

Menurutnya, dalam usaha untuk memudahkan urusniaga dengan JPJ, VOC yang diperkenalkan ini tidak lagi digunakan sebagai dokumen atau instrumen bagi urusan seperti pembaharuan lesen kenderaan motor (cukai jalan), tukar hak milik atau pindaan maklumat.

Sumber : harian metro