KUALA TERENGGANU - Video berdurasi 52 saat yang menjadi viral di laman sosial dengan menggambarkan guru dan murid di sebuah sekolah di sini seolah-olah diperbodohkan dengan terpaksa menjalani latihan menepuk tangan selama lima minit, dipolitikkan pihak tertentu agar menjadi isu hangat.
Pengarah Pendidikan Negeri Terengganu Shafruddin Ali Hussin berkata, perlakuan menepuk tangan pada sesuatu majlis sememangnya ingin dijadikan satu budaya sebagai penghargaan dan ucapan terima kasih.
Menurutnya, langkah itu seiring dengan tagline 'Memperkasakan Transformasi Pendidikan' (MTP) sejak beliau menjadi pengarah sejak 27 April tahun lalu yang selaras dengan Pelan Pembangunan Pendidikan 2013-2015.
"Antara elemen MTP ialah transformasi pengajaran dan pembelajaran, guru, sekolah, Pejabat Pendidikan Daerah (PPD), Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu (JPNT) serta Bahagian Teknologi Pendidikan Negeri (BTPN), pengetua, guru besar dan kemenjadian murid.
"Dalam elemen Transformasi Kemenjadian Murid kita berhasrat melahirkan generasi TTB yang mempunyai ciri-ciri menjaga agama, akhlak, sahsiah, manfaat masa atau ilmu, jujur integriti, bersih, keselamatan diri, budaya sukarelawan, menepati masa, hormat menghormati, kesihatan, sayang menyayangi, saling bantu membantu dan mengejar kecemerlangan," katanya pada sidang media di pejabatnya, semalam.
Menjawab persoalan mengenai arahan supaya pihaknya meminta semua guru dan pelajar menjalani latihan tepuk tangan selama lima minit yang turut menjadi viral, katanya, ia hanyalah satu permintaan dalam grup tertutup antara beliau dan pengetua serta guru besar.
"Permintaan untuk guru bertepuk tangan adalah satu cara menceriakan sesebuah majlis rasmi. Mudah-mudahan amalan yang baik ini akan menjadi ikutan para pelajar.
"Bagaimanapun, saya amat kagum kerana terdapat sekolah yang terus mengaplikasikannya kepada murid contohnya di sekolah yang ke-297 dan 298 yang saya lawati, (SK Bukit Guntong dan SMA Mahmudiah) saya menerima tepukan gemuruh daripada guru-guru dan murid-murid apabila meraikan kejayaan mereka," katanya.
Beliau berkata, elemen Transformasi Kemenjadian Murid memperkenalkan budaya memberi salah, berterima kasih, memberi penghargaan kepada sesiapa yang memberi sesuatu kepada kita dengan memberikan tepukan.
"Budaya warisan berzaman ini segar dalam amalan hidup ke arah kesejahteraan bermasyarakat," katanya.
Sumber: sinar harian
No comments:
Post a Comment