Bintang bola sepak Argentina Lionel Messi, yang dijadual untuk dibicarakan di Barcelona membabitkan kes penipuan cukai, memberitahu hakim beliau tidak pernah menyemak semula kontrak yang ditandatangani, lapor akhbar harian El Periodico, semalam.
Akhbar itu memperoleh kenyataan Messi untuk hakim bertarikh September 2013 dan diterbitkan sehari sebelum Pemain Terbaik Dunia Tahunan sebanyak lima kali itu dan bapanya dibicarakan. "Saya menandatangani sesuatu, tetapi saya tidak pernah melihat kontrak itu. Saya tidak tahu apa yang saya tandatangan," katanya.
Messi dan bapanya, Jorge Horacio Messi, didakwa menggunakan satu rangkaian syarikat palsu di Belize dan Uruguay untuk mengelak daripada membayar cukai ke atas 4.16 juta euro (RM19 juta) pendapatan Messi yang diperoleh melalui penjualan hak imejnya sepanjang 2007 hingga 2009. Mereka didakwa ke atas tiga tuduhan penipuan cukai.
Menurut kenyataan yang didakwa diterbitkan akhbar harian Barcelona itu, hakim menunjukkan kepadanya beberapa kontrak penajaan yang ditandatanganinya, tetapi beliau tidak ingat. "Semua ini diuruskan oleh ayah dan saya percaya padanya. Saya hanya menumpukan fokus kepada bola sepak. Saya buat apa yang disuruh." katanya lagi.
Pendakwa Sepanyol menuntut hukuman penjara 22 setengah bulan untuk Messi dan bapanya jika mereka didapati bersalah, ditambah denda bersamaan dengan jumlah yang didakwa ditipu. Akan tetapi berkemungkinan mana-mana hukuman itu akan digantung sebagaimana amalan lazim di Sepanyol untuk kesalahan pertama membabitkan hukuman kurang daripada dua tahun.
Sumber : berita harian
No comments:
Post a Comment