Sunday, 15 May 2016

Kafe Hipster lahir usahawan muda... baca selanjutnya..


KAFE hipster seperti cendawan tumbuh selepas hujan sejak kebelakangan ini menjadi pilihan golongan muda kerana suasana kafe yang lebih moden, kontemporari dan klasik serta memberikan keselesaan kepada pengunjungnya.

Kebanyakan kafe hipster melahirkan usahawan muda yang mampu menjana pendapatan jutaan ringgit. Mengetengahkan dekorasi ringkas, menu mudah disediakan dan dikaitkan dengan kopi dan 'dessert', ia akan menjadi pilihan pelanggan.

Ia sinonim dengan cita rasa anak muda dan dipelopori mereka kerana melihat ia sebagai satu perniagaan makanan dan minuman yang berpotensi untuk kekal lama dan berkembang.

Walaupun, ia dianggap perniagaan mengikut trend, bagi pengusaha kafe ini, mereka berkeyakinan ia akan menjadi satu perniagaan besar sekiranya bijak merencanakan perniagaan dan berani menghadapi pelbagai cabaran.

Ramai pengusaha kafe hipster berjaya dalam perniagaan mereka dan terus kekal kerana mereka kreatif, berinovasi, berpandangan jauh serta berusaha untuk kukuh dalam perniagaan ini.

Tawar pelbagai jenis menu
Kebanyakan kafe hispter menyediakan pencuci mulut (dessert), makanan santai dan pelbagai jenis kopi, namun uniknya kafe hispter yang dikenali sebagai Trackem Cafe & Restaurant (Trackem) kerana menyediakan masakan panas.  Mengetengahkan dekorasi batu bata merah melatari seluruh kafenya, Trackem mula beroperasi sekitar hujung tahun lalu menjadi tumpuan kerana dekorasinya menarik dan menyediakan makanan Barat dan Asian yang sedap.

Pengarah Urusannya, Muhammad Shamil Ashraf Mohd Amin, 22 berkata, Trackem diinspirasikan daripada pengembaraannya sebagai pengayuh basikal yang mengunjungi beberapa kafe dalam dan  luar negara.

Menurutnya, kebanyakan kafe hanya menyediakan minuman dan kek, namun Trackem mempunyai identitinya yang sendiri kerana menyediakan pelbagai jenis menu dari Barat, Itali dan Asian kepada pengunjung.

"Kami menyasarkan pelajar universiti, pekerja pejabat dan keluarga. Kami juga mengutamakan kualiti makanan dan perkhidmatan pelanggan bagi memastikan Trackem kukuh dalam industri ini.

“Bermodalkan RM200,000, saya mengusahakan restoran ini bersama kakak, Nur Illyana Shazmin Mohd Amin. Walaupun perlu bersaing dengan restoran yang unik di sekitar Shah Alam, saya yakin Trackem mempunyai peminat yang tersendiri kerana selain menu yang sedap, kami mengenakan harga yang berpatutan,” katanya.

Shamil Ashraf berkata, keunikan makanan yang disediakan menambat hati pelanggan kerana pelanggan akan kembali semula selepas mengunjungi kafe itu.

“Ia terletak di kawasan Seksyen 13, Shah Alam yang mempunyai kepadatan penduduk tinggi dan beberapa institusi pengajian tinggi. Alhamdulillah, setakat ini, sambutan yang diterima menggalakkan dan kebanyakan pelanggan memilih menu Barat.

“Antara yang terkenal ialah Mac n Cheese, Lamb Shank yang mana dagingnya diimport dari New Zealand, Mr Sirloin Steak, Signature Trackem Steak dan Trackem Ribs. Minuman yang menjadi pilihan pelanggan pula ialah Bubblegum dan Nutella Hot Chocolate,” katanya yang menyediakan lebih 50 menu kepada pelanggannya.

Inspirasi perniagaan orang muda
Bagi Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif The Chemistery Cafe, Intan Syafina Abd Rahman,28, berkata, kafe hipster merupakan ideanya sebagai orang muda untuk bertapak dalam industri makanan dan minuman di negara ini yang diinspirasikan dari Australia.

Bermodalkan simpanan sendiri, Intan Syafina berani menyahut cabaran terlibat dalam perniagaan kafe hipster yang dianggap baharu pada 2014 di negara ini.

"Saya bermula pada Mei 2014 dan tidak banyak kafe hipster pada waktu itu. Saya berpendapat, perniagaan kafe hipster adalah batu loncatan untuk berkembang dan menjadi budaya baharu kepada anak-anak muda bersosial secara sihat," katanya.

Tambahnya, walaupun kafe hipster dianggap sebagai perniagaan mengikut trend bagi sesetengah pihak, Intan Syafina, optimis ia menjadi platform terbaik pelanggannya yang terdiri daripada mereka berkerjaya, pelajar dan berkeluarga menikmati makanan dan minuman sambil bersosial.

"Kami menyediakan lebih 40 menu yang terdiri daripada makanan santai dan Barat dan 80 jenis minuman yang disediakan di kafe yang terletak di Seksyen 7, Shah Alam, Bangi; Selangor dan cawangan baharu di Wangsa Maju, Kuala Lumpur.

"Selain menyediakan suasana yang selesa kepada pelanggan, saya menitikberatkan soal makanan dan minuman yang disediakan serta kafe bertemakan makmal yang merupakan pertama di Asia. Bagi mengukuhkan perniagaan ini, saya menyediakan menu dan minuman baharu pada setiap bulan supaya memberikan kelainan kepada pelanggan.

"Saya juga sedaya upaya memenuhi kehendak pelanggan terutamanya penggemar kopi dengan menyediakan pelbagai jenis kopi serta menggunakan mesin yang diimport dari Itali dan Amerika Syarikat," katanya yang merancang pembukaan 20 outlet baharu dalam masa tiga tahun akan datang bersama rakan kongsinya, Zuhairy Zakaria.

Sumber : SH

No comments:

Post a Comment